Search

Isu Kereta Nasional

Saya merujuk kepada...

  • Share this:

Isu Kereta Nasional

Saya merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) ke-24 di Tokyo bahawa Malaysia bakal memulakan sebuah lagi projek kereta nasional.

Tatkala projek pengangkutan awam seperti MRT 3 dibatalkan, pengumuman projek kereta nasional yang baharu adalah satu langkah regresif dan terkebelakang.

Bukan sahaja projek kereta nasional ini tidak mesra alam dari segi pelepasan karbon dioksida, tetapi juga bakal menelan belanja yang besar kepada Kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan projek pengangkutan awam.

Sejak 1984 Kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kewangan merangkumi pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada PROTON.

Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105% yang membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional.

Melainkan projek kereta nasional baharu ini akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya, saya tidak nampak kebaikan dan manfaatnya kepada rakyat, ekonomi negara dan alam sekitar. Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale'. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai.

Kerajaan melalui Jemaah Menteri perlu memperhalusi cadangan ini sebaik-baiknya sebelum bersetuju untuk meneruskan projek ini. Namun saya berharap, keutamaan masa dan sumber dapat diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam seperti kerjasama dengan pihak swasta dalam menambahbaik “last-mile connectivity” seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal, kajian menyeluruh dari segi kemungkinan (feasibility) termasuk bagaimana untuk mengurangkan kos untuk projek MRT 3 dihidupkan semula pada masa akan datang atau dengan menggunakan sistem yang lebih menjimatkan kos seperti Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja.

Khairy Jamaluddin
Ahli Parlimen Rembau


Tags:

About author
not provided
Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Ahli Parlimen Rembau, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau. Hanya laman http://www.facebook.com/khairykj adalah laman rasmi. Twitter: http://twitter.com/Khairykj
View all posts